KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar akan larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari 2020.
Menteri Kasihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kini, pihaknya sedang giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan selain menekankan aspek pendidikan dalam isu berkenaan.
“Sebanyak 146,607 premis makanan telah diperiksa dan 31,422 notis amaran telah dikeluarkan.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.
“Sejumlah 23,805 aduan pula telah diterima semenjak Januari 2019 sehingga 3 November 2019,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di waktu pertanyaan menteri, di Parlimen, pada Khamis.
Mulai 1 Januari depan, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.
Kegagalan mematuhi larangan terbabit menyebabkan perokok didakwa di mahkamah, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.
Semetara itu ketika mengulas isu vape, Dr Dzulkefly menjelaskan, kementeriannya telah mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Kementerian Pendidikan bagi membincangkan strategi dan langkah-langkah untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.
Sumber :
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/denda-rm10-000-jika-merokok-di-kedai-makan-mulai-1-januari-2020-dr-dzulkefly-222608
Advertise Here
Leave a Reply